Smaller Default Larger

Perutusan Pengarah

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1 Malaysia

Selamat datang ke portal rasmi Politeknik METrO Tasek Gelugor (PMTG), Pulau Pinang. Saya amat mengalu-alukan kunjungan anda ke portal rasmi kami. Tujuan portal rasmi ini diwujudkan adalah untuk menjadi medium perhubungan di antara anda dengan PMTG.

 

PMTG merupakan usaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk memperluaskan peluang pendidikan kepada masyarakat setempat. PMTG merupakan Politeknik METrO yang kelima dan secara rasminya merupakan politeknik yang ke-32 ditubuhkan di Malaysia. PMTG mula beroperasi pada 8 Oktober 2012 dan ditempatkan secara sementara di Kampus Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. Lokasi yang bakal menjadi kampus utama PMTG adalah di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

 

Membawa konsep METrO iaitu Maximising Education and Training Opportunities, PMTG ditubuhkan untuk memenuhi kehendak sosioekonomi masyarakat tempatan dan wilayah yang berorientasikan perkhidmatan dan teknologi. Di samping itu, menjadi tanggungjawab PMTG untuk melahirkan graduan yang berpotensi serta mampu bersaing di arena kerjaya. Dalam usaha memenuhi halatuju Transformasi Negara dan menjana Modal Insan, PMTG diharap dapat memberi peningkatan dan pemerkasaan ke arah mentransformasikan kualiti pengajian tinggi ke tahap yang terbilang.

 

Terdapat dua program utama yang bakal ditawarkan di PMTG iaitu Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Permainan - Games Technology) dan Diploma Pengajian Video dan Filem. Program pengajian yang ditawarkan PMTG adalah secara pembelajaran sepenuh masa dan berteraskan Work-Based Learning (WBL). Pengambilan pelajar untuk sesi pertama dijangka akan bermula pada Jun 2013.

 

Seperti yang dimaklumkan, Politeknik METrO merupakan usaha terbaru Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, justeru sebarang maklumbalas atau pertanyaan amatlah dialu-alukan. Sekiranya diperlukan, warga PMTG sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang khidmat nasihat dan maklum balas kepada anda semua. Semoga portal rasmi PMTG ini dapat memberikan maklumat kepada anda yang ingin mengenali dan berminat untuk menyertai kami di PMTG.

 

Sekian, terima kasih

 

Wassalam

 

ABDUL MALEK BIN HASSAN

Pengarah

Politeknik METrO Tasek Gelugor

Pulau Pinang

.....................................................................................................................................................................................