ARAHAN PEPERIKSAAN DAN KAEDAH PENILAIAN

Sila dapatkan Arahan-arahan dan Garis Panduan Peperiksaan terikini disini

1. Permohonan untuk menduduki peperiksaan disebabkan kes-kes tertentu.

  • Peluang menduduki peperiksaan akhir semester hanyalah SEKALI iaitu pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan pada jadual waktu peperiksaan akhir semester.
  • Pelajar yang mempunyai sijil sakit (swasta atau kerajaan), bersalin, tersilap rujuk jadual peperiksaan, hujan/ribut, kemalangan, kesesakan jalanraya, kereta/motor rosak, tayar motosikal pancit, tertidur dan sebagainya tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan pada waktu lain semasa berlangsungnya peperiksaan akhir semester. Pelajar perlu mengambil kursus tersebut pada semester berikutnya dan dikira sebagai mengulang kursus.
  • Markah Penilaian Kerja Kerja Kursus (PKK)  bagi pelajar yang mempunyai sijil sakit akan diambil kira. Pelajar dianggap lulus sekiranya markah PKK pelajar  melebihi 40 peratus.   Sebaliknya, jika markah pelajar kurang daripada 40 peratus, pelajar dianggap gagal bagi kursus berkenaan  dan dikehendaki mengulang kursus.  Pada situasi ini pelajar dianggap sebagai gagal satu kali.
  • Pelajar yang tidak mempunyai sijil sakit akan diberi Gred F dengan nilai mata 0.00 dan dianggap telah mengambil kursus berkenaan dengan gagal satu kali.
  • Pelajar yang sakit dan dimasukkan ke wad boleh memohon untuk menduduki peperiksaan akhir di hospital pada tarikh dan waktu yang sama dengan pelajar lain untuk sesuatu kursus itu.
  • (Rujuk Buku Arahan-Arahan Peperiksaan Dan Kaedah Penilaian: Bhgn. 3, Para 10 ms. 16)

 

2. Mengulang Penilaian untuk pelajar semester akhir

  • Status Mengulang Penilaian (MP) hanya akan diberi kepada pelajar semester akhir yang telah melengkapkan jumlah minima jam kredit terkumpul (Sijil:60 dan Diploma:90) dan gagal satu kursus sahaja.  Pelajar semester akhir yang mempunyai kursus ulangan tetapi tidak mendaftar kursus tersebut pada semester akhir, maka pelajar tersebut tidak akan diberi status Mengulang Penilaian. Kursus Ulangan yang tidak didaftarkan pada semester yang sepatutnya akan diberi Gred F dengan nilai mata 0.00.
  • (Rujuk Buku Arahan-Arahan Peperiksaan Dan Kaedah Penilaian: Bhgn. 4, Para 19.2 ms. 27)

3. Slip Pendaftaran Kursus

  • Pelajar diingatkan untuk membawa slip pendaftaran kursus semasa menduduki peperiksaan akhir semester yang dicetak daripada Sistem Pengurusan Maklumat Politeknik (http://spmp.pmtg.edu.my)  sebagai bukti layak menduduki sesuatu kursus.

 

4. Telefon Bimbit

  • Pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke dalam bilik atau dewan peperiksaan seperti yang termaktub di dalam Buku Arahan-Arahan Peperiksaan Dan Kaedah Penilaian Bahagian 2 Arahan-Arahan Am Peperiksaan, Para 8.6.5(v) ms. 11. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Peperiksaan boleh membenarkan pelajar membawa masuk telefon bimbit atas dasar keselamatan dengan memastikan ia dimatikan atau disetkan ke mod senyap  dan diletakkan di atas lantai bersebelahan meja peperiksaan. Jika pelajar disyaki meniru menggunakan telefon bimbit, telefon berkenaan akan dirampas sebagai bahan bukti.

5. Keperluan ke Tandas

  • Pelajar tidak dibenarkan ke tandas semasa peperiksaan berlangsung. Sekiranya perlu, maka pelajar akan diiringi oleh pengawas bertugas ke tandas staf yang berhampiran.
Ubah Saiz Text
Contrast